Thursday, September 30, 2010

CERITERA ORANG MUDA.

Alkisah tersebutlah sebuah hikayat ceritera remaja zaman ini. Punya segala macam kemewahan, diapit dengan kesenangan yang tinggi menggunung, serta diulit dengan mimpi kebebasan yang berpandukan mazhab nafsu hingga membuatkan remaja bagai seekor Hering yang dambakan mangsa. Bagai seekor Serigala angkuh.

erbicara tentang fenomena kebejatan akhlak dalam kalangan remaja hari ini ibarat bercerita tentang kisah Sang Mentari dan Rembulan. Tiada kesudahan. Bak kata bahasa penjajah “The Endless Stories”. Paparan kisah rogol, pembuangan bayi, zina, minum arak, perjudian, serta krisis agama merupakan modal bicara seorang remaja. Bagai diadaptasi daripada kisah filem yang entah apa-apa kualitinya, serta rendah mutu moralnya telah menghumban remaja ke lembah neraka. Kemajuan yang dicanang kepada rakyat bertukar menjadi mimpi ngeri akibat lupusnya jati diri dan integriti. Akibat ghairah mengejar wang saku negara, segala macam cara dibenar walau berlawanan dengan agama majoriti rakyatnya. Maka sangkar maksiat bermaharajalela di setiap segi tanah pusaka bangsa. Bagai cendawan selepas hujan banyaknya. Terpampang megah kilang arak di Malaysia, bangunan judi menghias indah suasana di ibu kota, serta berbondong-bondong umat Melayu mengadakan “Lawatan Sambil Belajar” di Pusat Urut dan Spa seantero negara. Itu belum dicampur dengan kejayaan Malaysia menjadi pusat ternakan babi terbesar di Asia Tenggara.

Maka, apa yang dibimbangi segelintir rakyat yang kecil kuasanya ini menjadi realiti. Kes pembuangan bayi menjadi-jadi. Itu yang “terkantoi”. Yang tidaknya pula beduyun-duyun. Zina punya angkara. Hasil haram seperti judi pula kini tanpa segan silu didedah mahu diangkat sebagai salah satu sumber pendapatan negara. Alasanya mahu mengawal gejala perjudian haram. Saya mahu bertanya, adakah wujud perjudian yang dihalalkan dalam agama Islam? Segala sumber yang datang daripada yang haram itu, tetap haram hukumnya. Ini bukan bicara seorang hamba, tetapi ingatan daripada Pencipta.

(Telah dijanjikan Allah, Bayi yang dijemput Tuhan itu tempatnya di syurga. Dia akan berada di pintu syurga bagi menanti ibu dan ayahnya masuk bersama. Persoalannya, adakah bayi semalang ini akan menjemput ibu dan ayahnya yang punya sifat sekeji binatang?)

Lihat sahajalah pada malam ambang merdeka dan sambutan tahun baharu. Pesta menghiasi segenap penjuru negara. Bagi mereka, inilah nikmat dunia. Berkepit tak tentu hala sehingga lupa akan norma agama. Mereka begitu taksub dengan syurga dunia. Maruah diri digadai begitu mudah. Penguatkuasa pula terpaksa dikerah meninggalkan anak dan isteri semata-mata mahu membendung perkara ini. Berdozen-dozen kondom pula terpaksa dikutip pekerja Pihak Berkuasa Tempatan pada keesokan hari. Punya agama tetapi tidak pernah menghayati, maka lahirlah manusia yang tidak lagi mengenal Pencipta. Inilah remaja Islam Melayu yang kebanyakannya punya latar belakang gelap warnanya.

  
(suasana lazim pada malam ambang merdeka. adakah ini cara kita meraikan jerih payah pejuang bangsa dulukala menggapai kemerdekaan dengan konsert yang dijamu dengan segala macam dosa? inikah sebenarnya erti kemerdekaan negara?)

(Aksi anak muda yang baharu sahaja memasuki alam remaja. sayang, mereka punya akal tetapi akal mereka diletakkan di kaki.)

Berapa banyak hotel dan pusat peranginan yang pekerjanya mematuhi tuntutan pakaian dalam islam (aurat). Hanya kerna kegilaan mengejar pelancong seluruh benua, identiti diri diperjudi. Mungkin benar, kebanyakan taukeh-taukeh hotel ini bukan bertuhankan Yang Esa, tetapi kerajaan bisa kiranya menggariskan klausa kepada mereka. Umat Islam wajib menutup aurat. Satu anologi mudah saya berikan, lihat sahaja di barat, mereka maju kerana mereka punya rakyat yang bangga dengan identiti mereka. bagi mereka pergaulan bebas itu lumrah, tetapi bagi orang asia dan islam secara khususnya itu dipanggil davien.( satu bentuk tingkah laku yang bertentangan dengan norma). Itu yang diajar oleh guru. Sedangkan majoriti daripada kita bertuhankan Yang Esa. Pekerjanya pula? Huh, umat Islam banyaknya! Di barat, mereka terang-terangan menolak pemakaian purdah,dan hijab, kerna itu bukan budaya mereka. Itu davien bagi mereka. Kerna itulah mereka menolak. Mereka tentang dengan segala macam cara. Mereka tidak mahu budaya asing mencerap dalam kehidupan mereka. Berbeda pula dengan kita, budaya asing diangkat melangit, budaya yang disyorkan agama, dikebumi di perut bumi. 

Konsep keterbukaan yang dicakna, melantun ke muka. Dasar yang dirangka pemerintah akhirnya menjerat diri. Inilah akibatnya kalau terlalu takbur membelakangkan hukum hakam Sang Pencipta. Diberi madu, dipilihnya toba. Punya Al-Quran untuk dikaji, tetapi hanya dibaca berulang kali, tanpa sebarang erti dan pengisian. Maka lahirlah barisan pemimpin yang jahil lagi keras kepala.

Si ibu dan bapa pula bagai melepas batuk dI tangga.  Rintihan si anak yang dambakan kasih sayang tidak diendah  dan dibiar berkeliaran keliling kota. Mereka hanya ngerti soal kerja dan kejarkan pangkat semata-mata. Akibatnya, zuriat anugerah Illahi terpaksa mencari orang ketiga untuk berpaut dan berteduh. Mengharap insan baharu yang bisa memberi secebis kasih sayang kepada diri mereka. Persoalannya siapakah rakan baru anak anda tersebut? Jika Si kaya atau teknokrat berwibawa, tidaklah hamba begitu kisah, tetapi manusia perosak bangsa. Dadah dijadikan juadah minda, seks bebas lambang hakiki orang muda, arak pula diteguk saban hari. Adakah hamba perlu matikan diri dalam perkara sebegini?, Bisu tanpa sebarang bicara, sedangkan hamba mampu berbuat sesuatu? Si ibu dan ayah hanya dijadikan boneka. Ditipunya si ibu dan ayah sesuka hati. Bonda dan ayahdanya pula bagai terpukau dengan tingkahlaku si anak yang begitu tertib di hadapan mereka. begitu dungu hingga tidak berbuat usul periksa walau pernah ternampak dengan mata kepala sendiri? Alasannya, pelanduk dua serupa. Kita dianugerahi Tuhan akan zuriat penyambung warisan. Kita punya tanggungjawab untuk dibereskan. Itu sebenarnya tugas hakiki seorang manusia yang bergelar hamba.


Natijahnya, bicarawara soal remaja, merupakan satu episod yang tiada kesudahan. Kukuh atau longgarnya jati diri dalam kalangan remaja bergantung kepada tuan empunya diri. Mungkin segala macam ilham bisa dicetuskan untuk mengatasi masalah ini. Mungkin jutaan ringgit bisa dihabiskan untuk menampan masalah yang menimpa. Dalam lanskap negara kita hari ini, kita perlu balik semula ke pangkal. Mencari semula sinar keberkatan dan nur hadayah Tuhan. Tauhid dalam kalangan rakyat tidak akan dapat ditegakkan jika pemerintahnya sendiri alpa dan leka dengan kuasa dunia hingga sanggup kurangkan pemberatan agama dalam sistem pentadbiran mereka. Pemikiran remaja yang disadurkan dengan konsep kapitalis penjajah harus dinyahkaan segera dalam negara ini. Islamisasi perlu segera disuburkan dalam jiwa rakyat. Peranan anda sebagai seorang warga perlu digerakkan. Tidak kiralah anda seorang pemimpin terkemuka, ahli agama, tokoh akademik mahupun rakyat biasa, perkara ini memerlukan peranan kita bersama, kerana kita yang cipta masalah ini. Maka, ini tanggungjawab kita bersama. 


Created by: Taufiq Jamal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...