PILIHAN RAYA KECIL DEWAN UNDANGAN NEGERI N.45 GALAS
PENAMAAN CALON: 26.10.2010.
TARIKH PENGUNDIAN: 04.11.2010
27 september 2010, tercipta sebuah lagi episod dalam buku politik Malaysia. Pilihan raya kecil akan diadakan kerna mendapat perkhabaran daripada speaker DUN Negeri Kelantan yang telah menyatakan kerusi tersebut telah pun kosong akibat kematian penyandangnya.. Epilod Duka yang melanda PAS akibat kematian ADUN nya iaitu Che Hashim Bin Sulaima mahu segera di sambut dengan pekikan Jihad yang dilaungkan bagi mengekalkan kerusi tersebut. Namun sebelum strategi diatur dan langkah disusun, UMNO terlebih dahulu cuba menjadi Jagoan Baharu Umat Galas. Mereka segera menamakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang iaitu Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya.
Persoalannya, mengapa Tengku Razaliegh menjadi pilihan Najib? Mengapa, ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor, Manek Urai dan lain-lain, ketua-ketua Umno Bahagian tersebut tidak dilantik menjadi Pengarah? Mengapa Tengku Razaleigh tiba-tiba diangkat menjadi nakhoda? Mengapa mereka begitu beria-ia mahukan Tengku yang seorang ini? Apa ‘special” sangat Pemimpin berdarah istana ini? Bukankah dahulu, beliau menyatakan secara terbuka mahu bertanding kerusi Presiden Umno menentang Najib? Walaupun hampa tanpa pencalonan, tetapi nama beliau kembali meniti di bibir rakyat? Inilah rencah, asam garam politik. Kita perlu bermain dengan ombak sekiranya berhasrat untuk sampai ke lautan dalam.
MUNGKIN ini taktikal UMNO bagi mengunci isu royalti minyak di Kelantan, kerna menurut firasat mereka, pasti isu ini akan melanda dan membadai Galas. Sekiranya zon penampan tidak dibuat, pasti mereka tersungkur sekali lagi di sana. Lantas, Satu-satunya cara untuk mengatasi ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka sudah sedia maklum, bahawa Ku Li terang-terangan menyokong Kerajaan Negeri Kelantan yang berusaha mendapatkan hak wang royalti sebenar, maka apa saya melihat, mereka perlu “menyibukkan” Ku Li dengan bebanan kerja agar beliau kurang mempunyai ruang dan peluang untuk menjaja cerita royalti minyak di Galas. Tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya bukan calang-calang kerja yang boleh goyang kaki. Rangka strategi perlu dibentuk, logistik perlu diperkukuh, senarai nama perlu di semak, perayu undi perlu diperkemas, semuanya perlu dikemaskini dari semasa ke semasa.
Tetapi pada hemat saya, TUGAS KU LI cukuplah sekadar pengarah. UMNO tidak akan menjadikan beliau sebagai CALON. Mungkin sesetengah pihak tidak bersetuju. Bukankah jika mencalonkan KU LI akan mendatangkan kemenangan UMNO kerana KU LI begitu kebal di Gua Musang, mungkin kemenangan dengan majoriti yang lebih besar akan mampu dieroleh. Ya, memang benar, tetapi hakikatnya mereka menang dari sudut luaran semata-mata, tetapi mereka berpotensi untuk terduduk selepas itu. Saya berasa, UMNO tidak mahu mengambil risiko ini. Tidak praktikal jika Dato Presiden UMNO bertindak demikian. Cuba bayangkan, jika KU LI menang pilihan raya kecil Galas ini, tempatnya bukan sahaja di Dewan Rakyat, tetapi di DUN Kelantan. Adakah Tengku Razaliegh akan bermuka-muka untuk TIDAK meneruskan hasrat beliau memperjuangkan isu royalti minyak Kelantan tatkala memenangi Kerusi DUN Galas? TIDAK pastinya. Jika dikaji perwatakan Ku Li, beliau seorang yang tetap pendirian dan tidak suka bermuka-muka. Berterus-terang ketika berhujah serta tidak takut dengan cabaran. Teraju partinya sahaja sudah beberapa kali diujinya. Tanpa berselindung beliau mahu merebut jawatan Presiden parti. Pastinya, beliau akan terus menyokong hasrat kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz memperjuangkan isu royalti. Beliau berpotensi untuk menjadi liabiliti kepada partinya. Ini yang ditakuti UMNO.
Pas pula, andai Tengku Razaleigh dipilih menjadi calon UMNO, jangan lah begitu sugul dan gundah gulana. Walaupun berkemungkinan besar anda akan kalah di Galas, tetapi hakikatnya anda berjaya dalam aspek yang lain pula. Jejaknya kaki Ku LI di Dewan DUN Kelantan akan mendatangkan seribu satu rahmat kepada anda. Inilah yang dinamakan situasi sama-sama menang, sama-sama kalah. Kekuatan baharu akan diperolrh jika YB Ahli Parlimen Gua Musang ini duduk di kerusi DUN. Isu Royalti akan berkumandang di dalam Dewan DUN. Kali ini bukan sahaja di meja Kerajaan Negeri tetapi turut disahut di meja pembangkang di DUN Kelantan. Namun, ini sekadar pandangan mata kasar saya. Kedua-dua pari pasti memiliki pemikir yang hebat-hebat belaka untuk menentukan calon di Galas. Ini sekadar perbualan kedai kopi sahaja, mengisi masa terluang untuk bersembang bersama rakan.
Oh ya, buat rakyat Galas, jangan lupa menunaikan kewajipan anda sebagai rakyat Malaysia. Belajarlah menjadi seorang warga yang bertanggungjawab. Undilah pilihan anda. Jangan jadi seperti katak yang berada di dalam gelas. Punya mata untuk melihat sekeliling, dan bisa mentafsir suasananya, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Gunakanlah pilihan raya yang akan diadakan pada 4.11.2010 sebagai wadah terbaik membuat satu transformasi ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Oh ya, buat rakyat Galas, jangan lupa menunaikan kewajipan anda sebagai rakyat Malaysia. Belajarlah menjadi seorang warga yang bertanggungjawab. Undilah pilihan anda. Jangan jadi seperti katak yang berada di dalam gelas. Punya mata untuk melihat sekeliling, dan bisa mentafsir suasananya, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Gunakanlah pilihan raya yang akan diadakan pada 4.11.2010 sebagai wadah terbaik membuat satu transformasi ke arah masa depan yang lebih gemilang.
No comments:
Post a Comment