Sunday, January 16, 2011

Puisi: Negeri Ini

Di hadapan pintu awal subuh,
Seorang isteri masih memeluk,
Anak-anak menahan sejuk,
Menggigit tubuh menahan selimut,
Sedang akau sudah lama bangkit mencari negeri ini,
Yang hilang,
Dalam ralit ratib,
Dalam zikir fikir,
Lazat munajat kebenaran,
Makna makrifat sebuah keimanan,
Kehidupan singkat suatu hakikat kepulangan.

Dalam negeri diri ini,
Marilah kita tanam subur,
Padi-padi makmur syumul,
Di perladangan iltizam penuh syukur,
Menyusur sejuk teluk dan keluk sungai kesabaran,
Bertebingkan keras batu jihad muhasabah,
Putih butir pasir tawakal taubah,
Menghanyutkan kedengkian busuk jiwa bernanah,
Ke muara sungai nafsu nafsi laut bebas lepas menggila.

Sesudah negeri ini bersultan keimanan,
Memandanya bersalut keris pusaka keislaman,
Marilah kita atur dan susun warna kehidupan,
Melagukan qasidah kudus keinsafan hati,
Menghalau petaka gila perpecahan susila berpanji.

Dalam negeri diri,
Kita sebenarnya berteka teki dalam misteri,
Mencari satu persatu realiti abadi,
Di pusara mimpi demi mimpi.

Ditulis kembali oleh:
Taufiq Jamal.

2 comments:

bunga_lily_pink said...

jeles ny ngn org yg ade bakat mcm ni...huhu

Taufiq Jamal said...

cik bunga lily: saya orangnya biasa-biasa sahaja. Tidak punya keistimewaan pun. Hanya Punya sepasang tangan untuk menggerakkan mata pena seperti yang lain..=)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...