Pagi ini, Fajar masih menyinsing di ufuk timur, dengan berlatarkan kedamaian alam fatamorgana ciptaan Tuhan, camar bermegah mencari sedikit bekal untuk si anak, hamparan permaidani hijau masih berselaputkan embun pagi hari. namun panasnya biasa-biasa saja. Tidak seperti hari-hari sebelumnya yang diselimutkan dengan terik mentari yang memancar. Terasa begitu damai ceruk desa yang satu ini. Jalur-jalur hidup akan menjalar lagi hari ini. Suara runsing manusia akan bermula lagi pagi ini.
Bingkas bangun sekujur tubuh manusia menggeledah tempat kerjanya. Berbekalkan cahaya pelita minyak tanah yang sedikit malap, dia menjenguk ke dapur. Mencari apa yang boleh dimasak untuk alas perut keluarganya pagi ini. Kayu api dibelah-belah di bangsal belakang, terkadang mengah menghayun kapak sompek yang uzur itu, tetapi digagahkan juga badan. Dipikul, lalu dibawa ke dapur. Api dinyalakan menghangatkan dinihari. Digumpal-gumpal segenggam tepung gandum untuk dibuat jemput-jemput. Air dijerang untuk dibancuh menjadi secangkir kopi buat minuman permatanya. Pagi ini berlainan benar semangat wanita pertama ini. Senyuman tidak henti-henti terukir di balik wajahnya.
Azan berkumandang menandakan masanya telah tiba. Ditimbanya air perigi dua baldi buat bekal air sembahyang. setelah bersih, dikejutnya pula Amir daripada lena mimpi. Disuruh bersegera anaknya membersihkan diri. selesai dikerjakan anaknya itu, dihamparkan sejadah buruk peninggalan suaminya menghadap Illahi. Sujud, rukuk menghadap Yang Esa. Seusai solat, terkumat kamit lidahnya memuji, ditadah juga tangannya dengan senyuman.
Bermula memuji Nabi junjungan, mohon dihindar daripada api neraka, lidahnya mula melontar luahan kepada arwah suami.
“Alhamdulillah, abang, anak kita dah berjaya bang. Yam gembira sangat hari ini, hari ini Amir daftar universiti. Impian abang selama ini dah tercapai. Selepas ini, kita sudah tidak susah lagi abang.” Air mata sayu mula membasahi pipi tanpa henti.
“Yam dah tak perlu belah kayu api lagi....dah tak perlu bergelap..air pun dah tak perlu timba perigi kat belakang itu...merasa jugalah pakai baju mahal-mahal nanti...Lepas ini, dah tak ada lagi yang berani mengata keluarga kita.” Dilafazkan dengan penuh pilu di hadapan Pencipta.
“Terima kasih bang kerana telah bagi semangat kat Yam. Abanglah sumber inspirasi Yam.”
“Ya Allah, kau jagalah buah hati aku ini Ya Allah, Sesungguhnya aku sudah tidak punya sesipa lagi kecuali kau Ya allah. Kau santunkanlah kata-katanya dengan hikmah, susunlah geraknya dengan mudah, lindungi dirinya dengan agamamu dan kau mudahkanlah segala urusannya. Sesungguhnya aku sangat sayang padanya Ya Allah.” Syahdu benar pagi itu.
Di balik daun pintu, Amir tunduk meruntun pilu. Di tolaknya pintu lalu menghampiri ibunya. Mereka bertentangan. Air mata jatuh lagi.
“Mak, Amir sayang mak. Amir sayang mak. Amir sayang mak. Sayang sangat-sangat. Terima kasih mak.” Lalu dipeluk ibunya sekuat hati sambil air matanya menjeguk lagi ke bumi.
“Amir, dengar cakap mak, lepas ini kalau dah duduk kat bumi orang, jangan sombong, berkawan dengan semua orang.”
“Biar orang benci kita, tetapi jangan sesekali benci pada orang lain, ingat pesan mak. Lagi satu, solat jangan sesekali tinggal. Kalau Amir sayangkan mak, Amir solat dan doakan mak ya.” Tambah Mak Yam.
Fajar makin meninggi menongkat langit cakerawala. Berkemas-kemaslah mereka berdua. Setelah bersarapan dan meneguk kopi bersama, digapainya beg pakaian lalu di bawa ke basikal tua peninggalan ayahnya dahulu.
“Amir, hari ini biar emak yang kayuh basikal ya. Amir duduk di belakang” pinta ibunya.
“ Tak mengapalah mak, biar Amir sahaja yang kayuh, lagi pun, stesen bas itu kan jauh, Amir takut mak penat nanti” rayunya.
“Dah, Amir membonceng di belakang, biar emak yang kayuh ya” Mak Yam mengarah.
“ Perlahan-perlahan mak, jangan laju sangat.” Kedua-dua tangannya memeluk erat pinggang emaknya. Tersenyum puas Mak Yam hari ini.
Akhirnya, mereka berdua pun sampai di Stesen bas yang terletak 5 kilometer dari rumahnya. Terus sahaja mereka duduk di ruang menunggu. Banyak mata yang memandang. Almaklumlah, baju mereka compang-camping, koyak sana, koyak sini. Dalam hiruk pikuk manusia, emaknya berpesan.
“Amir, ingat ya, jangan sombong, jangan lupa siapa diri kita, asal-usul kita, kita bukan orang senang, jangan lupakan emak ya.” menitis lagi air mata Mak Yam.
“Amir janji emak. Amir janji.” Air mata emaknya dilap dengan sapu tangan berulang-ulang kali. Mereka berpelukan lagi. Kali ini benar-benar erat.
Jam menunjukkan 10.00 pagi. Panggilan untuk penumpang bas ke Kuala Lumpur sudah pun dibuat. Mereka menghampiri pintu bas. Amir mula melangkah. Selangkah demi selangkah menaiki bas. Basah lagi pipi mereka. Akhirnya berangkatlah Amir ke universiti bagi memulakan langkah pertama. Mak Yam tahu detik perpisahan akan berlaku juga. Inilah waktunya.
HAK CIPTA TERPELIHARA.
Hasil Karya: Taufiq Jamal
( 12.01.2011)