Thursday, May 5, 2011

SK Seri Menanti Muar: Kini 100 tahun.

Nama Seri Menanti bukanlah satu nama yang asing dalam lipatan sejarah Negeri Johor. Kampung ini dibuka pada tahun 1912 oleh dua orang penghulu iaitu Penghulu Salleh dan Penghulu Johar. Ia merupakan sebuah kawasan yang terletak di bahagian tengah daerah Muar. Kawasan ini juga pernah menjadi laluan kereta api Muar dari Jalan Maharani ke Sungai Pulai sepanjang 22.5 KM. Di sini juga lahir ramai pemimpin masyarakat antaranya Dato Razali Ibrahim. Kini menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Tim.Menteri Belia Dan Sukan. Terdapat juga beberapa wakil rakyat lain yang berasal dari kampung ini.

Sek.Keb.Seri Menanti Muar merupakan sebuah sekolah yang telah di buka pada tahun 1911. Lokasi sekolah ini terletak di kawasan tanah awam yang berlainan tetapi berhampiran. (Hanya dibezakan dengan sebuah rumah). Pada mulanya, sekolah ini hanya mempunyai empat buah bangunan.

Bangunan : JKR 583

Sekolah ini mula mendapat bangunan tetap pada 1926. Ia dinamakan dengan nama "Sekolah Melayu Seri Menanti Muar". Pada tahun 1957, nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Umum Seri Menanti Muar. Pada tahun 1959, nama sekolah ini sekali lagi telah ditukar menjadi "Sekolah Lelaki Seri Menanti Muar."
Bangunan B: JKR 834
Bangunan ini didirikan sebagai bangunan tambahan Sekolah Lelaki Seri Menanti Muar pada tahun 1948. Ia digunakan sehingga tahun 1984 apabila ia mula digunakan sebagai bangunan Sekolah Agama Seri Menanti. (Sekolah Agama Negeri Johor). Pada Tahun 1989 tapak sekolah ini yang merangkumi bangunan A dan B telah diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Johor untuk dijadikan sekolah agama. Pada tahun yang sama juga, sebuah bangunan dua tingkat telah dibina bagi menggantikan bangunan yang sedia ada untuk keselesaan pelajar Sekolah Agama Seri Menanti.

Bangunan C: JKR 1381
Bangunan ini telah dibina pada tahun 1953 apabila pentadbiran sekolah ini dipecahkan kepada dua iaitu Sekolah Lelaki Seri Menanti dan Sekolah Perempuan Seri Menanti. Bangunan ini diperuntukkan untuk kegunaan Sekolah Perempuan Seri Menanti Muar. Guru Besarnya yang pertama ialah Puan Asiah Binti Nordin. Pada tahun 1963, pentadbirannya telah dicantumkan semula dengan Sekolah Lelaki Seri Menanti untuk membentuk Sekolah Kebangsaan Seri Menanti Muar. Pada tahun 1982, bangunan ini telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan dua tingkat.(JKR 2877). Bangunan ini kekal sehingga hari ini. Pada 24 Februari 1984, bangunan ini telah dirasmikan oleh YAB Dato Seri Musa Hitam, selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Bangunan D: JKR 1380.
Bangunan ini telah dibina pada Tahun 1962 sebagai bangunan tambahan kepada Sekolah Kebangsaan Seri Menanti Muar. Pada 24 Julai 1963, ia telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor ketika itu iaitu, YAB Dato' Hj. Hassan Bin Hj.Yunos.

Mulai tahun 2002, SK Seri Menanti telah mendapat peruntukkan untuk membina sebuah bangunan 4 tingkat bagi menggantikan bangunan D. Kini sekolah ini mempunyai 3 buah blok bangunan yang terdiri daripada sebuah bangunan 2 tingkat, sebuah bangunan 4 tingkat dan sebuah kantin. Mulai tahun 2001, sekolah ini telah dinaikkan ke Gred A. 

Pada awal tahun 2010, sekolah ini sekali lagi telah diperuntukkan sebuah bangunan 4 tingkat. Ini menjadikannya kini memiliki 2 buah bangunan 4 tingkat, sebuah bangunan 2 tingkat dan sebuah blok kantin.
 


Nota: 
Buat cikgu-cikgu, terima kasih kerana telah mengajar kami semua. Teruskanlah kegemilangan dan kecemerlangan dalam mendidik anak bangsa dan tingkatkanlah prestasi sekolah ini dari semasa ke semasa. Kepada para pelajar, ingatlah ILMU SULUH HIDUP. Belajarlah setinggi awan agar mampu menggapai bintang dan menakluki sang bulan.
SKSM BOLEH!

oleh:
TAUFIQ JAMAL
Bekas pelajar sekolah ini (1997-2003).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...